RUMAH ketua pasukan bola sepak Pahang menjadi sasaran tembakan menyebabkan cermin kenderaan MPV pecah di Lorong Kubang Buaya 35, Kuantan, Pahang, malam semalam. – Utusan/AHMAD ZAKKI JILAN
KUANTAN 11 Mac - Ketua pasukan bola sepak Pahang, Mohd. Razman Roslan, 31, terkejut rumah sewanya di Lorong Kubang Buaya 35, di sini menjadi sasaran tembakan sehingga mengakibatkan cermin kenderaan pelbagai guna (MPV) milik bapa mertuanya pecah dalam kejadian malam tadi.
Penyandang Pemain Pertahanan Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2014 itu berkata, dia tidak pernah menerima sebarang bentuk ugutan sebelum kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu.
Dia bagaimanapun enggan membuat sebarang tafsiran dan mengulas punca atau motif kejadian dengan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan.
“Biar polis yang menyiasatnya, saya rasa mungkin penembak itu salah orang. Saya tak mahu tuduh sesiapa dan tidak tahu apakah puncanya.
“Saya akui begitu terkejut melihat beberapa slug peluru, namun bersyukur kerana ahli keluarga terselamat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd. Razman, sebelum kejadian itu, dia ditemani isteri dan dua anaknya keluar makan malam bersama rakan-rakan sepasukan dalam skuad Tok Gajah dan pulang ke rumah kira-kira pukul 10.30 malam.
Apabila tiba di rumah, katanya, mereka sekeluarga menonton televisyen sebelum isterinya, Ozy Azeya Abdul Aziz, 30, dan anaknya yang masing-masing berusia dua serta lima tahun ke bilik di tingkat atas untuk tidur.
Turut berada di dalam rumah teres dua tingkat itu ialah ibu mertuanya yang tidur di tingkat atas.
“Saya menyusul kemudian tetapi tersedar selepas terdengar bunyi letupan. Memang tak sangka bunyi tembakan senjata api kerana bunyinya seperti mercun,” katanya.
Tambah Mohd. Razman, dia kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati cermin belakang MPV itu pecah selain terdapat kesan tembakan di dinding serta menemukan slug peluru di lantai.
“Melihat kejadian itu, saya hanya memikirkan keselamatan keluarga dan bergegas masuk ke dalam rumah lalu menghubungi polis yang tiba kira-kira lima minit kemudian untuk menjalankan siasatan,” ujarnya yang mula beraksi bersama skuad Pahang pada 2013 dan diberikan tugas selaku ketua pasukan sejak musim lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan pihaknya akan menyiasat dari semua sudut bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab.
Beliau memberitahu, siasatan awal di tempat kejadian mendapati terdapat lima kesan tembakan iaitu tiga di dinding hadapan rumah dan dua lagi di cermin belakang MPV berkenaan.
Ujarnya, polis turut menemukan slug peluru di atas lantai dan dipercayai suspek menggunakan senjata api jenis Revolver.
“Berdasarkan saksi dan mangsa, suspek dipercayai melepaskan tembakan lebih daripada satu kali namun semuanya masih dalam proses siasatan termasuk bagi mengetahui motif sebenar kejadian.
“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian berkaitan kejadian itu dan biar polis melaksanakan tugas hingga tertangkapnya suspek,” katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971.
Dalam pada itu, seorang jiran yang enggan dikenali berkata, dia tidak mengendahkan bunyi letupan didengarinya dari arah rumah Mohd. Razman kerana menyangka ia adalah mercun.
Katanya, dia beranggapan demikian kerana masih dalam suasana sambutan Tahun Baharu Cina dan pernah melihat beberapa individu bermain mercun serta bunga api di kawasan perumahan tersebut.
“Selepas melihat ramai jiran mula mengerumuni rumah Mohd. Razman dan dengan kehadiran anggota polis, baharu saya sedar bahawa letupan tersebut adalah daripada senjata api.
“Kejadian ini merupakan kali pertama di kawasan perumahan ini. Mujur tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa. Saya juga dimaklumkan Mohd. Razman sekeluarga diarahkan tinggal di tempat lain buat sementara waktu demi keselamatan mereka,” katanya.
No comments:
Post a Comment