Search This Blog

Thursday, March 19, 2015

Raungan minta tolong dalam van remuk


WARTAWAN SINAR HARIAN
19 Mac 2015
Raungan minta tolong dalam van remuk
Anggota bomba mengalihkan sisa cermin sebelum memotong bahagian yang remuk untuk mengeluarkan mangsa tersepit.


Raungan minta tolong dalam van remuk
Pemandu van yang dikeluarkan orang awam disandarkan pada pengadang jalan sementara menunggu ketibaan ambulans.
CHENEH (KEMAMAN)  – “Sebaik dengar letupan kuat, van itu berasap dan saya dengar raungan minta tolong dari dalam van yang remuk.”

Demikian kata Mohamad Haniff Hamzah, 45, yang merupakan saksi kejadian kemalangan melibatkan sebuah van dan sebuah lori yang berlaku di Kilometer 270.7 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 2 dekat Cheneh, kira-kira jam 6.10 petang kelmarin.

Kemalangan dipercayai berlaku selepas Toyota Hiace dinaiki dua lelaki yang berada di lorong kiri, cuba memotong  lori yang berada di hadapan.

Bagaimanapun, ketika cuba memotong, terdapat sebuah kenderaan dalam keadaan laju di lorong kanan menyebabkan pemandu van terbabit masuk semula ke lorong kiri lalu merempuh belakang lori.

Selepas rempuhan itu, van terbabit terbabas ke sebelah kiri dan tersadai di bahu jalan dengan asap memenuhi bahagian hadapan van yang remuk kesan rempuhan kuat.

Menurut Mohamad Haniff, orang ramai yang kebetulan melalui lokasi kejadian ketika itu turut menghulurkan bantuan dengan mengeluarkan pemandu berusia lingkungan 40-an dari dalam van.

Bagaimanapun katanya, kelindan yang tersepit di celah van yang remuk itu tidak dapat dikeluarkan orang ramai.

Sementara itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh diketuai Komander Operasi, Abdul Razak Abdullah yang tiba di lokasi kejadian, mengambil masa setengah jam untuk keluarkan kelindan van yang tersepit.

Kerja mengeluarkan mangsa dilakukan lima anggota dengan dibantu dua anggota bomba bantuan hingga mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira jam 7.13 malam.

Kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk luka di kepala, kemudian dikejarkan segera ke Hospital Kemaman dengan menaiki ambulans.

Bagaimanapun, pemandu lori jenis Hino berusia 42 tahun yang ketika itu dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur, tidak mengalami sebarang kecederaan.

No comments:

Post a Comment