Perkara itu didedahkan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Wilayah Persekutuan setelah menerima banyak aduan orang ramai berhubung kegiatan tersebut di beberapa kawasan seperti di Setapak, Plaza Ong Tai Kim, Segambut, Wangsa Maju dan Jalan Kelang Lama.
Ketua Pengarahnya, Faizan Mohd. Noor berkata, hasil maklumat aduan tersebut, pihaknya telah ke lokasi berkenaan dan mendapati premis terbabit beroperasi tanpa rasa takut.
“Walaupun arahan tegas dikeluarkan Ketua Polis Negara bagi membanteras gejala tersebut, namun setahu saya sehingga kini tiada seorang pun tauke, pemilik premis judi haram serta pengusaha yang didakwa dan dipenjarakan.
“Sehubungan itu, JMM mewakili seluruh warga kota yang bimbang dengan gejala ini meminta agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memantau dan menangkap dalang-dalang yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat laporan di Balai Polis Tun H.S Lee berhubung perkara tersebut dan dalam masa sama turut menyerahkan lokasi-lokasi premis mesin judi haram agar tindakan lanjut dapat diambil pihak berkuasa.
Pada Oktober tahun lalu, Khalid dengan tegas mengarahkan PDRM membersihkan premis mesin judi haram dalam tempoh seminggu dan sekiranya gagal mereka akan berhadapan dengan tindakan tegas termasuk ditukarkan 24 jam.
Dalam pada itu, Faizan juga memberitahu, JMM Wilayah Persekutuan akan mengadakan Kempen Hapuskan Jenayah Mesin Judi Slot bagi membantu pihak polis dalam usaha menghapuskan gejala berkenaan daripada kembali membarah dalam masyarakat.
Tambah beliau, sebagai permulaan sebanyak 10,000 keping poskad akan diedarkan kepada masyarakat bagi memberi kesedaran bahaya judi mesin slot haram secara besar-besaran.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada polis yang turut menyokong kempen kami serta berharap kerjasama pintar ini akan berjaya meningkatkan kesedaran orang ramai dan seterusnya menyelamatkan masyarakat daripada terjerumus ke dalam masalah sosial yang lebih buruk,” ujarnya.