Namun kegiatan kedua-dua suspek yang dikenali sebagai Geng Lee Kong itu berjaya dilumpuhkan apabila salah seorang daripada mereka ditahan dalam satu serbuan yang dijalankan di Taman Bukit Mandarina, Cheras pada 12 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Azlee Abdullah berkata, suspek akan menyimpan hasil barangan yang dicuri di dua rumahnya yang terletak di Apartmen Mandarina Court dan Apartmen Jalan Bukit Jalil di sini.
“Susulan penahanan tersebut, polis turut merampas sebanyak 175 jenis barangan hasil kegiatan pecah rumah geng tersebut yang dianggarkan bernilai RM500,000 termasuk televisyen, kamera digital, komputer riba, jam tangan, telefon bimbit dan beberapa jenis barangan kemas seperti gelang dan cincin.
“Hasil siasatan polis juga mendapati suspek menjual barangan curi ini di sekitar Lembah Klang.
“Malah suspek turut meleburkan emas sebelum menjualnya di kedai pajak gadai,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfield di sini hari ini.
Menurut Azlee, suspek yang berusia 37 tahun tersebut mempunyai 12 rekod jenayah lampau dan ujian air kencing menunjukkan dia positif dadah jenis ganja.
Tambahnya, suspek akan keluar menaiki motosikal dan melakukan tinjauan bagi memilih kawasan yang berpotensi sebelum bertindak.