Search This Blog

Friday, March 20, 2015

Polis buru 5 suspek rompak dua rumah dalam sehari


19 Mac 2015


GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang sedang mengesan lima suspek kes rompakan melibatkan dua unit rumah pangsapuri di Bukit Dumbar, di sini, Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Mazlan Kesah berkata, kejadian pertama berlaku di Jalan Batu Gajah pada pukul 9.30 pagi diikuti sebuah lagi pangsapuri yang terletak di Jalan Thomas pada pukul 8 malam.

"Kedua-dua pangsapuri itu terletak tidak jauh antara satu sama lain dan modus operandi yang digunakan juga hampir sama," katanya kepada pemberita selepas melawat rumah mangsa rompakan berkenaan di sini hari ini.

Katanya rakaman kamera litar tertutup dapat merakamkan wajah suspek dan mereka disyaki orang tempatan selain kelihatan memahami selok-belok kawasan berkenaan.

Beliau berkata dalam kes pertama perompak yang terdiri daripada tiga lelaki naik ke tingkat 15 rumah mangsa dengan menaiki tangga dan membuka pintu pagar hadapan dipercayai menggunakan kunci yang telah diubah suai sebelum memecahkan tombol pintu kedua.

Manakala di rumah kedua suspek masuk menerusi tembok belakang pangsapuri sebelum masuk ke rumah mangsa yang terletak di tingkat bawah menggunakan cara yang sama dan mengikat penghuninya, kata Mazlan.

Beliau berkata jumlah kerugian mangsa terlibat dianggar RM20,000 selain pelbagai barang berharga seperti laptop, telefon pintar dan barang kemas turut dilarikan.

Seorang daripada mangsa Ong Wei Khen, 23, berkata, ketika kejadian pukul 9.30 pagi itu beliau baru keluar dari bilik air selepas selesai mandi dan terkejut melihat penjenayah itu sudah berada di dalam rumahnya.

"Apabila terlihat saya dari bilik air seorang dari perompak itu mengacukan parang pada leher dan mengikat tangan dan kaki saya dengan wayar pengecas telefon. Mereka tidak bertopeng dan mungkin tidak sangka ada orang di dalam rumah," katanya.

Tukang masak restoran itu berkata suspek seperti mengetahui rutin keluarganya dan bertanya bila ibu bapanya yang berniaga di Pasar Jelutong akan balik dan kelihatan tergesa-gesa menggeledah rumah itu.

"Ibu bapa saya memang akan balik sekitar 11 pagi atau lebih awal selepas selesai berniaga...saya sepatutnya telah bersiap-siap untuk ke tempat kerja tetapi saya lambat sikit hari itu," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment