Kejadian itu berlaku di Lapangan Terbang La Guardia, New York awal pagi semalam apabila pesawat jenis McDonnell Douglas MD-88 milik syarikat penerbangan Delta Airlines dengan nombor penerbangan 1806, mendarat dalam keadaan landasan yang licin akibat salji tebal.
Menurut laporan bomba New York, seramai 24 orang mengalami kecederaan termasuk tiga dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Kesemua penumpang dan anak kapal berjaya dibawa keluar dari pesawat itu dengan selamat dalam tempoh 30 minit tanpa menggunakan gelongsor kecemasan yang tidak berfungsi.
Satu rakaman video menunjukkan berpuluh-puluh penumpang yang kesejukan memanjat keluar dari pintu kecemasan pesawat yang terletak di bahagian sayap selepas pesawat itu merempuh tambak dan pagar landasan, manakala muncung kapal terbang itu betul-betul berada di atas Sungai East yang membeku.
Pengarah Eksekutif Lapangan Terbang New York, Patrick Foye berkata, pesawat itu tergelincir le­bih 1,400 meter dari landasan.
Foye berkata, punca kejadian tidak dapat dipastikan walaupun beberapa penumpang mendakwa pesawat itu gagal mengurangkan kelajuan sebaik-baik mendarat di landasan.
“Kami berasa lega kerana pesawat itu tidak terjunam ke dalam sungai yang boleh mengundang risiko lebih besar,” katanya.
Kejadian tersebut berlaku ketika kebanyakan lapangan terbang di AS membatalkan lebih 4,500 penerbangan tengah hari semalam ekoran cuaca buruk akibat salji lebat.
Agensi ramalan cuaca juga mengeluarkan amaran tentang tahap penglihatan yang rendah di New York dan kira-kira 40 peratus penerbangan dibatalkan di Lapangan Terbang La Guardia sebelum kejadian itu berlaku. – AFP