Dalam serbuan kira-kira 9.30 malam oleh sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur itu, pelakon berusia 37 tahun berkenaan yang ditahan untuk kali ketiga dicekup bersama dua rakannya termasuk seorang wanita dalam bilik hotel tersebut.
Menurut sumber, hasil pemeriksaan ke atas bilik pelakon itu bukan sahaja menemukan belasan peket plastik lutsinar dipercayai dadah jenis syabu tetapi turut menemui sepucuk pistol angin yang mengandungi satu kelopak berisi 14 butir peluru bebola besi.
“Pistol tersebut ditemui di dalam plastik yang diletakkan di atas rak televisyen bilik hotel tersebut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pelakon terbabit sebelum ini pernah ditahan atas kesalahan sama sekitar 2010 dan 2013 selain turut ditahan bagi membantu siasatan penemuan makmal memproses dan membungkus dadah di Kepong.