Search This Blog

Thursday, March 12, 2015

Peket kopi segera berisi dadah



Martin KHOO (tengah) menunjukkan serbuk dadah yang diisi di dalam peket minuman kopi segera 3 dalam 1 di Sibu semalam.


SIBU – Taktik baharu sindiket pengedaran dadah dengan membungkus serbuk ekstasi di dalam peket kopi minuman segera 3 dalam 1 terbongkar selepas polis memberkas tiga lelaki tempatan di pusat bandar ini kelmarin.
Mereka yang berusia antara 18 hingga 20 tahun itu ditahan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu pada pukul 12.15 tengah hari.
Serbuk itu boleh dicampurkan dengan sebarang jenis air termasuk minuman keras untuk dijadikan minuman yang mengkhayalkan yang dinamakan ‘Happy Water’.
Serbuk bungkusan minuman segera itu dipercayai dijual pada harga RM200 sepeket.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Martin Khoo berkata, jika dilihat secara kasar, peket-peket kopi minuman segera yang dirampas itu kelihatan seakan-akan seperti peket minuman biasa yang belum dibuka.
Katanya, serbuk ekstasi dimasukkan ke dalam bungkusan minuman itu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa sebelum diedarkan di sekitar Sibu.
“Dadah seberat 1.1 kilogram itu ditemui di dalam Toyota Hilux yang dinaiki ketiga-tiga suspek.
“Kita turut merampas beberapa botol kecil bersaiz 10 mililiter mengandungi cecair ketamin dan 175 pil ekstasi,” katanya di sini semalam.
Martin Khoo memberitahu, nilai kesemua dadah terbabit kira-kira RM22,540 dan polis turut merampas wang tunai berjumlah RM3,900 daripada suspek.
“Semua suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika bersalah,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0312&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3U91xZfGX 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment