Search This Blog

Saturday, March 7, 2015

Pakistan rampas 2,000kg daging labi-labi



GAMBAR fail bertarikh 11 September 2014 ini menunjukkan kura-kura berbintik hitam berenang di sebuah kolam di pusat kuarantin haiwan di bandar Sukkur, Pakistan. - AFP


KARACHI – Pihak berkuasa Pakistan akan memulakan siasatan selepas hampir 2,000 kilogram (kg) daging labi-labi yang diambil daripada lebih 4,000 ekor haiwan tersebut berjaya dirampas di sebuah pelabuhan di sini, lapor sumber kastam semalam.
“Ini merupakan kiriman labi-labi terbesar dalam sejarah kastam negara ini. Bekalan daging kering dan bahagian badan lain haiwan tersebut telah diambil daripada 4,200 labi-labi dengan nilai melebihi AS$6 juta (RM21.8 juta) di pasaran antarabangsa,” jelas pegawai kanan kastam, Iran Javed kepada agensi berita AFP.
Tambahnya, satu kes di bawah undang-undang jenayah dan hidupan liar telah didaftarkan dan usaha membuat tangkapan telah dimulakan. Sebuah syarikat tempatan yang berdaftar dengan kawasan mewah di bandar ini telah mengatur penghantaran bekalan tersebut kepada seorang pengimport China di Hong Kong.
Cebisan daging haiwan itu turut dihantar untuk ujian makmal bagi mengesahkan spesiesnya sebelum kesemua barang rampasan itu disimpan di pusat barang rampasan Jabatan Kastam.
Pegawai kastam minggu lalu berjaya menggagalkan cubaan menyeludup sekitar 1,900kg daging labi-labi berkenaan ke Hong Kong yang cuba disembunyikan di sebalik label daging ikan.
Pemburuan labi-labi untuk diseludup kepada pelanggan di China dan Thailand telah menjadi ancaman besar kepada spesies kura-kura yang tinggal di Sungai Indus itu.
Sekitar 200 ekor labi-labi yang dikelaskan sebagai haiwan terancam telah diseludup ke Xinjiang, China pada Jun tahun lalu tetapi pihak berkuasa Pakistan berjaya mendapatkan semula haiwan-haiwan tersebut dan memulangkannya ke Sungai Indus. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0307&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz3TdOSbZ1L 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment