Beberapa orang anggota pasukan keselamatan Tunisia, berkawal di sekitar Muzium Bardo selepas satu serangan dilancarkan kumpulan bersenjata di Tunis, semalam. AFP
TUNIS 18 Mac – Sebanyak 19 orang dilaporkan terbunuh, termasuk 17 pelancong asing dalam satu serangan oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan raifal di Muzium Nasional Bardo, yang merupakan lokasi tumpuan pelancong, di sini hari ini.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Mohamed Ali Aroui berkata, bagaimanapun drama tebusan itu berakhir selepas dua penyerang bersenjata terbunuh selepas diserbu pasukan antipengganas.
Katanya, seorang anggota pasukan keselamatan itu turut maut.
Ketika kejadian, terdapat kira-kira 100 pelancong berada di dalam premis itu.
Beberapa orang yang dijadikan tebusan oleh penyerang juga berjaya diselamatkan.
Saluran penyiar Wataniya, turut menyiarkan rakaman menunjukkan anggota pasukan keselamatan bertopeng memindahkan pelancong asing ke lokasi selamat. Muzium Nasional Bardo terletak bersebelahan bangunan Parlimen Tunisia.
Sementara itu, anggota Parlimen Tunisia mendakwa mereka terdengar bunyi tembakan, sekali gus memaksa jawatankuasa Parlimen menangguhkan sidang ketika anggota Parlimen lain diarahkan supaya berkumpul di bahagian utama dewan.
Bagaimanapun, identiti penyerang masih tidak dapat dipastikan. – AFP
No comments:
Post a Comment