Search This Blog

Friday, March 20, 2015

Mayat ditemui bertutup dengan selimut


20 Mac 2015


IPOH - Mayat seorang lelaki warga Myanmar dipercayai dibunuh ditemui dalam bilik di sebuah rumah kedai dua tingkat di Bandar Seri Botani di sini, malam tadi.
   
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, mayat lelaki berusia 46 tahun itu ditemui majikannya dalam keadaan bertutup dengan selimut kira-kira 9 malam.
   
"Siasatan awal mendapati, mangsa meninggal dunia dalam lingkungan enam hingga 12 jam. Pemeriksaan di tempat kejadian juga menemui kesan darah yang telah kering," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
   
Chang Keong berkata, suspek dipercayai menggunakan senjata tajam kerana terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala, muka dan belakang badan mangsa.

"Bagaimanapun, tiada sebarang kesan pergelutan walaupun bilik mangsa berada dalam keadaan tidak tersusun," katanya.
   
Katanya, kedai dua tingkat berkenaan dihuni tujuh pekerja termasuk mangsa dan kesemuanya merupakan warga Myanmar.
   
Difahamkan, mangsa bekerja dengan majikannya sejak dua tahun dan hanya datang menetap di rumah berkenaan apabila mempunyai projek.
   
"Mangsa berada di sini sejak sebulan yang lalu. Usaha sedang dijalankan bagi mengesan enam lelaki Myanmar yang tinggal bersama si mati untuk membantu siasatan," katanya.
   
Chang Keong berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat. - Bernama 

No comments:

Post a Comment