ALLAHYARHAM KAMARUDDIN
ALLAHYARHAM KAMARUDDIN
KOTA BHARU - Seorang bekas Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) maut selepas motosikal ditunggangnya bersendirian bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian di Jalan Dusun Muda di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, Kamaruddin A.Razak, 46, yang datang dari arah stesen minyak Petronas Jalan Dusun Muda bertembung dengan lori jenis Hicom yang secara kebetulan membelok ke kanan simpang sebelah kanan.

Saksi kejadian, Wan Rusli Wan Daud berkata, dia mendengar bunyi dentuman ketika berada di rumahnya, kira-kira lima meter dari lokasi kejadian.

"Saya bergegas melihat apa yang berlaku dan mendapati mangsa terperosok di bawah lori.

"Mangsa meninggal dunia kira-kira 10 minit selepas kejadian akibat parah di kepala," katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.

"Mangsa dipercayai dari arah Kota Bharu ke Dusun Muda, manakala lori dari arah bertentangan dan memasuki lorong motosikal terbabit.

"Pemandu lori ditahan untuk membantu siasatan," katanya.