Lelaki ditemui mati tergantung
Mayat mangsa dibawa ke HKT untuk dibedah siasat.
KOTA TINGGI – Seorang lelaki ditemui mati oleh abangnya dalam keadaan leher terjerut dengan tali di rumahnya di Taman Kemang, di sini, semalam.

Mangsa yang berusia 31 tahun itu dipercayai penagih dadah dan baru keluar penjara, ditemui di pintu masuk bilik kira-kira jam 8.30 malam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, sepasukan polis pergi ke lokasi selepas Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi menerima panggilan jam 8.45 malam.

Ketua Polis Balai Kota Tinggi, Inspektor Azri Yaacob bersama lima anggota ke rumah mangsa dan dapati mayat tergantung di pintu bilik hadapan tingkat satu rumah itu.
"Lehernya dijerut dengan seutas tali getah dan ketika kejadian tiada penghuni di rumah itu," katanya.

Rahmat berkata, mayat mangsa, anak kelima daripada lapan beradik dan tinggal bersama tiga beradik lelaki itu dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk bedah siasat.