Ketua kartel dadah Mexico tumpas
Morales (tengah) dikawal ketat tentera sebaik tiba di lapangan terbang Mexico City. Foto: AFP
MEXICO CITY - Pasukan keselamatan Mexico berjaya memberkas ketua kumpulan dadah paling berbahaya, Omar Trevino Morales dalam satu serbuan di utara Monterrey, kelmarin.

Ia merupakan penangkapan berprofil tinggi kedua oleh polis dan tentera Mexico sejak beberapa minggu lalu dalam usaha Presiden Enrique Pena Nieto membanteras jenayah terancang.

Morales adalah adik lelaki kepada Miguel Angel Trevino, iaitu bekas pemimpin utama geng dadah Los Zetas yang ditangkap pada 2013.

"Morales ditangkap bersama empat lelaki lain dalam dua operasi berasingan pada awal pagi Rabu. Dia antara suspek paling dikehendaki dan memiliki profil yang sangat bahaya," kata Pengarah Suruhanjaya Keselamatan Negara, Monte Alejandro Rubido.

Amerika Syarikat sebelum ini menawarkan ganjaran ASD$5 juta (RM18 juta) untuk maklumat yang membawa kepada penangkapannya.

AS mendakwa Morales bertanggungjawab dalam beberapa kes penculikan dan pembunuhan termasuk penyeludupan kokain. - Reuters