Kastam berjaya rampas pelbagai kereta mewah
Abdullah Zawawi (kanan) menunjukkan antara jenis kereta mewah yang berjaya dirampas sepanjang Januari hingga kini di pejabat Kastam Padang Bongor, semalam.
KOTA BHARU - Kastam Kelantan berjaya merampas pelbagai jenis kenderaan mewah diseludup masuk dari negara jiran sejak Januari hingga semalam, dengan nilai rampasan berjumlah RM1.1 juta.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Abdullah Zawawi Abd Latiff berkata, sepanjang Januari sehingga kini, pihaknya telah menahan 31 kenderaan dengan lima suspek terlibat dalam sindiket terbabit.

“Kita ambil serius hal ini kerana sindiket berkenaan sering membawa masuk kereta mewah ke negara ini, antaranya  Toyota Wish, Estima, Mitsubishi Grandis, Subaru Impreza,Toyota Harrier, Toyota Wish dan Honda Jazz. Ramai pembeli tertipu dengan harga dijual, kononnya jauh lebih murah daripada harga pasaran namun sebenarnya semua kereta ini dibawa masuk secara haram.

“Malah, kereta ini juga tidak mempunyai kelulusan Kastam dan tidak sah, maka tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang terlibat,” katanya kepada pemberita di pejabat Kastam Padang Bongor, Jalan Pengkalan Chepa, di sini, semalam.

Abdullah berkata, ahli sindiket yang terlibat ditahan sebelum didakwa di mahkamah untuk tindakan susulan.

“Dalam kes terbaru kelmarin, kita berjaya menahan tiga lelaki dengan dua kenderaan jenis Mitsubishi dan Toyota Wish yang berjaya dirampas walaupun salah seorang suspek mengugut seorang pegawai Kastam yang bertugas.

“Kita harap orang ramai lebih berwaspada pembelian kereta mewah ditawarkan dengan harga jauh lebih murah kerana kereta terbabit juga turut menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya.

Abdullah Zawawi berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan boleh dikompaun lima kali nilai harga kereta.