Serbuan pada pukul 5.30 petang itu membawa kepada penahanan tiga penjaga kedai dan tiga ‘tahi judi’ yang sedang asyik membuat taruhan balingan bola pada papan judi berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, pusat judi yang baru beroperasi selama dua hari itu menggunakan kelengkapan murah untuk aktiviti berkenaan.
Kata beliau, kos kelengkapan perjudian yang amat murah dengan anggaran RM300 menyebabkan pengusaha tidak berasa ralat sekiranya serbuan dan rampasan dilakukan pihak berkuasa.
“Dalam serbuan itu, kita merampas papan nombor bersama tangga untuk menggolekkan bola, pita pengukur, bola kecil dan papan gantung (tertera jumlah judi),” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Berlokap Kepayan di sini hari ini.
Chandra berkata, selain kos kelengkapan murah, permintaan daripada ‘tahi judi' menyebabkan aktiviti haram yang telah lama ditinggalkan itu muncul semula.
Katanya, kesemua suspek termasuk kaki judi yang berusia 24 hingga 41 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, pihaknya berjaya merampas 13 buah mesin perjudian dengan nilai rampasan RM5,000 di sebuah premis yang berselindung di sebalik pusat hiburan keluarga pada 27 Februari lalu.
Katanya, bertindak atas maklumat dan risikan, serbuan pada pukul 8 malam itu menyaksikan 11 individu termasuk dua penjaga premis berusia 25 hingga 50 tahun ditahan untuk tindakan lanjut.
“Pengusaha premis menggunakan lesen untuk pusat rekreasi yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk menjalankan aktiviti perjudian,” jelasnya.
Tambah beliau, pihaknya membatalkan lesen pusat rekreasi keluarga itu dan dua pengusaha premis kini disiasat di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) manakala sembilan lagi kaki judi disiasat mengikut Seksyen 4 (B) Akta Rumah Judi Terbuka.