Hilang suara akibat leher tertusuk zink
Mohd Said kini ditempatkan di ICU Hospital Taiping.
KUALA KURAU - Seorang tukang rumah bakal kehilangan suara selepas lehernya cedera akibat ditimpa zink yang terjatuh ketika dia merobohkan bangunan lama di sebuah sekolah di sini, minggu lalu.

Ketika kejadian 10 Mac lalu itu, leher Mohd Said Mastor, 51,  ditusuk sekeping zink, menyebabkan urat suaranya terputus.

Anak mangsa, Faiz, 30-an, berkata, insiden itu berlaku pada jam 11.30 pagi.

“Rakan sekerja ayah segera membawa ayah ke Klinik Kesihatan Tanjung Piandang sebelum dia dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Parit Buntar.

“Kecederaan serius menyebabkan ayah koma sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping untuk rawatan susulan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Faiz berkata, ayahnya hanya menunjukkan reaksi positif setelah mengalami koma selama dua hari dan kini semakin pulih.

“Bagaimanapun kami sekeluarga sedih apabila doktor bertugas beritahu ayah mungkin hilang suara setelah urat suaranya terputus dan tidak dapat diselamatkan.

“Saya yang berada di Rawang, Selangor sewaktu kejadian berlaku bergegas pulang melihat keadaan ayah dan kami sekeluarga akan berusaha supaya ayah kembali bersuara semula,” katanya.

Nasib menimpa mangsa mendapat perhatian Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari yang menziarahinya di Hospital Taiping kelmarin.