Helikopter terhempas: 11 dikhuatiri terbunuh
11 dikhuatiri terbunuh dalam nahas helikopter milik Amerika Syarikat.
FLORIDA - AMERIKA SYARIKAT. Tujuh anggota tentera laut dan empat anggota tentera darat dikhuatiri terbunuh selepas sebuah helikopter tentera Amerika Syarikat terhempas ketika sedang menjalani latihan.

Pengkalan Tentera Udara Eglin di Florida berkata, anggota marin yang terlibat adalah sebahagian daripada kumpulan operasi khas dan tentera darat pula adalah dari unit keselamatan kebangsaan yang berpangkalan di Lousiana.

Helikopter jenis UH-60L Blackhawk dilaporkan hilang kira-kira pukul 8.30 malam waktu tempatan semalam dan pasukan operasi mencari dan menyelamat menemui serpihan helikopter berkenaan kira-kira 2 pagi.

Jurucakap Pengkalan Tentera Udara Englin, Andy Baourland berkata, buat masa ini, semua mangsa yang terlibat masih belum ditemui.

"Nama-nama mangsa yang terlibat akan dumumkan kelak", katanya dipetik Mirror.uk

Helikopter tersebut menjalani latihan rutin di kawasan pantai terpencil antara Pensacola dan Destin.

Baourland menambah, helikopter tersebut berlepas dari lapangan terbang berhampiran Destin dan kemudiannnya menyertai pesawat lain dalam latihan tersebut.

Semalam dua helikopter bertembung di Argentina, menyebabkan 10 terbunuh di mana tiga daripadanya adalah bintang sukan Perancis.