Geng samun bersenjata tumpas
Zundin menunjukkan wajah lelaki dipercayai ketua kumpulan atau perancang kumpulan terbabit yang masih diburu pada sidang media semalam.
TEMERLOH – Polis berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah yang menyamun stesen minyak, kedai ubat dan kedai arak di sekitar Mentakab sejak awal bulan ini dengan tertangkapnya tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 18 hingga 34 tahun semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Superintendan Zundin Mahmood berkata, kesemua yang ditahan dipercayai terbabit dalam kejadian samun yang turut mengakibatkan seorang pemilik kedai ubat cedera ditetak pada 2 Mac lalu.

Menurutnya, kumpulan terbabit telah menyebabkan kerugian sekitar RM6,000 dengan melarikan barangan berharga dari tiga premis terbabit dalam kejadian yang berlaku pada 2 dan 11 Mac lalu.

“Cawangan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh telah menubuhkan satu pasukan khas bagi memburu mereka yang terlibat dan akhirnya berjaya menahan mereka semalam.

“Dua daripada suspek berjaya ditahan di Brickfield selepas menyamun sebuah kedai serbaneka manakala dua lagi ditahan di Telemong, Karak.

“Polis masih memburu seorang lagi lelaki dipercayai ketua kumpulan terbabit yang masih bebas dikenali G.Lingeswaran yang berasal dari Karak,” katanya pada sidang media semalam.

Zundin berkata, kumpulan terbabit yang berasal dari Karak mengejutkan orang ramai apabila melakukan jenayah samun di kedai ubat di Jalan Haji Kassim, Mentakab dan menetak pemilik premis di lengan dalam kejadian pada 6.45 petang 2 Mac lalu dan melarikan sebuah telefon bimbit jenama Nokia.

Beliau berkata, kira-kira 15 minit kemudian, kumpulan yang sama melakukan samun ke atas sebuah premis menjual arak di bandar yang sama dan melarikan enam botol arak, komputer riba dan wang tunai RM1,000.

Menurutya, pada 11 Mac lalu, kumpulan yang sama meluru masuk ke sebuah stesen minyak di Jalan Karak dan melarikan barangan berharga serta sebuah motosikal milik pelanggan seperti laporan akhbar ini pada 13 Mac lalu.

“Kesemua suspek kini akan direman tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta Seksyen 395/397 samun berkumpulan dan bersenjata,” katanya.