Dalam operasi yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur dengan kerjasama Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) serta JSJ Bukit Aman itu, seramai 26 ahli kumpulan terbabit ditangkap semalam.
Serbuan itu dilakukan beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang dan Perak.
Polis turut mengesan bengkel haram di Taiping, Perak kerana disyaki menjadi lokasi untuk me­leraikan dan mengambil komponen kenderaan terbabit.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam laman Twitter beliau mengesahkan perkara tersebut dan turut mengucapkan penghargaan kepada pasukan yang berjaya membanteras kumpulan penjenayah itu.
“Syabas Stafoc, JSJ Kuala Lumpur dan JSJ Bukit Aman @PDRMsia berjaya tangkap 26 org ahli geng langgar belakang dan samun. Bengkel haram mereka di Taiping juga di­bongkar,” katanya.
Sebelum ini, polis Kuala Lumpur mendedahkan sekurang-kurangnya 40 kes samun menggunakan modus operandi langgar belakang dilaporkan sejak Jun tahun lalu.
Antara kereta yang menjadi sasaran kumpulan ini adalah Toyota Hilux, Toyota Camry dan Honda CRV.
Kejadian itu kerap berlaku di sekitar Brickfields, Cheras dan Sentul serta susur keluar lebuh raya sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.