SHAHIDAN KASSIM
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim berkata, kegiatan judi seperti itu didapati bukan sahaja membabitkan golongan dewasa malah kakitangan kerajaan dan juga pelajar sekolah.
“Judi bukan sahaja akan menyebabkan harta yang sedia ada dihabiskan tetapi rakyat juga tidak akan berdaya maju kerana berharap­kan kepada keuntungan sekelip mata,” katanya selepas merasmikan Majlis Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil TInggi Persekolahan Malaysia (STPM) Parlimen Arau yang dianjurkan oleh Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Arau di Dewan Kolej Vokasional Arau di sini semalam.
Dalam majlis itu sebanyak 101 pelajar cemerlang SPM menerima sijil, plak dan wang tunai RM100 dan 50 pelajar STPM menerima sijil, plak dan wang tunai RM150.
Selain itu, 10 pelajar di Parlimen Arau dipilih menerima Anugerah Bakti berupa derma siswa RM1,200 selama setahun.
Shahidan berkata, pihaknya turut mengenal pasti beberapa buah kedai di sekitar Simpang Empat dan Arau mengubah perniagaan asal kepada kedai judi dan jual nombor ekor.
Katanya, ada juga kedai yang menjalankan judi tikam ekor menerusi jualan kad prabayar telefon bimbit dengan melibatkan pelajar sekolah.
Tambahnya, jika dibiarkan lebih lama beroperasi maka lebih ramai lagi yang akan terbabit.
Terdahulu dalam ucapannya, Shahidan menasihatkan pelajar di negeri ini bersungguh-sungguh mendapatkan pendidikan sehingga ke peringkat universiti.
Katanya, pendidikan bukan sahaja menjadi kayu pengukur kepada tahap kebijaksanaan seseorang malah merupakan peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang baik.