Perbuatan itu dilakukan seorang lelaki berusia kira-kira 30 tahun yang dikesan menyasarkan rumah ditinggalkan di sekitar Bandar Saujana Utama di Sungai Buloh, dekat sini.
Lelaki yang bekerja sebagai ejen rumah itu difahamkan memecah masuk dua buah rumah di sekitar Bukit Saujana di kawasan perumahan itu sebelum dicekup penduduk sekitar, pagi ini.
Utusan Malaysia difahamkan, lelaki itu berjaya memecah masuk sebuah rumah sebelum cuba me­lakukan jenayah sama di sebuah lagi rumah di kawasan berhampiran.
Bagaimanapun percubaannya tidak berhasil apabila kelakuan mencurigakan itu berjaya dihidu penduduk setempat yang kemudian mengepung untuk menahannya.
Dia mulanya memberi alasan hanya mahu memeriksa rumah tersebut namun hasil pemerhatian penduduk, sebuah lagi rumah dirompak sebelum dia ditangkap.
Polis yang datang ke lokasi kejadian selepas dihubungi penduduk mendapati, suspek mengambil pelbagai barangan di dalam rumah itu termasuk wang tunai serta duit syiling.
Malah, kereta jenis Nissan yang digunakan suspek juga disahkan menggunakan nombor plat sebuah kenderaan yang dilaporkan dicuri.
Selain itu, kenderaan berkenaan turut dihiasi dengan bendera penyokong kelab bola sepak sebuah negeri.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Junaidi Bujang ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan penangkapan individu berkenaan, namun menjelaskan siasatan lanjut masih dilakukan.