Dua pelajar berkenaan, masing-masing berusia 13 dan 14 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Aminah dan SMK Damai Jaya itu ditahan di dua tempat berasingan antara pukul 1 hingga 3 pagi ini.
Mereka ditahan selepas rakaman kejadian tampar itu dimuat naik di laman sosial Facebook milik suspek berkenaan pada 16 Mac lalu. Insiden berkenaan turut dimuat naik di Facebook Polis Johor hari ini.
Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintenden Noor Hashim Mohamad berkata, kedua-dua pelajar itu ditahan ekoran laporan yang dibuat mangsa yang berusia 17 tahun dan merupakan pelajar SMK Tun Aminah.
“Kita terima laporan pukul 11.13 malam tadi oleh mangsa. Berdasarkan maklumat yang kita terima dua pelajar tersebut tidak berpuas hati dengan percakapan mangsa,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Noor Hashim berkata, pihaknya memberi tumpuan ke atas kes itu dan akan disegerakan kerana melibatkan pelajar.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.