kes mahkamah
KUANTAN – Padah memukul isteri, seorang pengawal keselamatan didenda RM800 dan dijatuhi hukuman penjara enam hari oleh Mahkamah Majistret Kuantan, di sini, semalam.

Tertuduh, Aris Sharif, 62, dari Paka, Terengganu, mengaku bersalah dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas isterinya yang berusia dalam lingkungan 30an.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh melakukan kesalahan itu di Kampung Baru Cherating lebih kurang jam 6.30 petang, 12 Mac lepas.

Timbalan Pendakwa Raya, Fatinah Abu Bakar mengemukakan tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, ketika pengadu berada di rumah dia telah mengarahkan anak perempuannya untuk mengangkat kain di ampaian namun tertuduh telah masuk campur lalu mengamuk dan menendang pengadu hingga jatuh.

Pengadu kemudiannya melarikan diri ke dalam bilik tetapi tertuduh memukulnya menggunakan tangan di kepala dan belakang badan.

Selepas pengadu membuat laporan polis, siasatan telah dilakukan dan tertuduh didapati dengan sengaja melakukan perkara berkenaan.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali memberikan nasihat kepada tertuduh agar tidak mengulangi perbuatan itu memandangkan suami bertanggungjawab menjaga dan bukan mencederakannya.