Dentuman dari luar sekolah
Keadaan kereta yang terbabas dan merempuh lampu isyarat di luar perkarangan sekolah SMK Datuk Sedia Raja, semalam.
REMBAU - Dentuman kuat dari luar pagar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Sedia Raja, di sini, mengejutkan seorang pengawal keselamatan sekolah terbabit.

Dentuman didengari kira-kira 11.10 pagi itu disebabkan sebuah kereta jenis Proton Saga BLM dipandu seorang lelaki lingkungan 50-an, terbabas merempuh tembok dan tiang lampung isyarat sebelum tersadai ke dalam longkang.

Menurut pengawal keselamatan berkenaan, Azwan Khairul Azhar, 20, pada masa kejadian, dia berada dalam pos pengawal.

"Selepas terkejut dengan bunyi dentuman kuat di luar pagar sekolah, saya dapati tembok batu sudah pecah.

“Terdapat sebuah kereta masuk dalam longkang. Manakala tiang lampu isyarat berdekatan juga sudah patah dipercayai dilanggar kereta itu," katanya.

Menurutnya, dia kemudian bergegas mendekati mangsa yang masih dalam kereta.

“Saya bantu keluarkan mangsa. Cuma melalui pintu depan penumpang, saya nampak lehernya sudah merah. Pintu tempat pemandu terhalang lampu isyarat yang patah,” katanya di sini, semalam.

Azwan berkata, dia sempat bertanya punca kejadian daripada mangsa.

"Dia kata, dia mencari telefon bimbitnya, tapi tak jumpa. Cuma kemudian dia sedar kereta dipandunya sudah terbabas ke tepi jalan, lalu melanggar tembok batu dan merempuh lampu isyarat di kiri jalan.

Menurutnya, tidak berapa lama selepas kejadian, rakan mangsa yang kebetulan melalui jalan itu membawa mangsa pulang.