IDRIS ABDUL RAFAR menunjukkan dadah dan wang tunai yang dirampas dalam sidang akhbar di IPD Kuala Terengganu, Terengganu, semalam. – Utusan/Shaifudin Mohd. Nor
Dalam serbuan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kira-kira pukul 8.20 malam, wang tunai RM26,500 dan heroin bernilai RM30,000 dirampas.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Idris Abdul Rafar berkata, suspek berusia 27 tahun itu ditahan di hadapan rumahnya yang dipercayai digunakan untuk kegiatan membungkus dan mengedar bahan itu.
“Hasil pemeriksaan berpandukan maklumat yang diberi oleh suspek, polis menjumpai satu bungkusan yang mengandungi empat botol plastik dadah jenis heroin dan sepeket dadah jenis sama serta wang tunai bercampur-campur berjumlah RM26,500, di dalam sebuah bilik di rumah itu.
“Keseluruhan dadah seberat 85.5 gram itu dianggarkan bernilai RM30,000 dengan anggaran jualan untuk sebotol kecil yang bernilai RM400 setiap satu,“ katanya dalam sidang akhbar di IPD Kuala Terengganu, di sini hari ini.
Menurut Idris, siasatan mendapati, suspek yang bekerja secara kontrak dengan JPAM sejak 2007 tidak mempunyai sebarang rekod jenayah di samping pemeriksaan air kencing yang negatif.
Katanya, kumpulan yang dianggotai suspek dipercayai merupakan kumpulan yang baharu beroperasi di daerah ini, sejak tahun lalu.
“Kita percaya lelaki ini bertindak sebagai stokis dan mendapat bekalan dadah daripada ketua kumpulan sebelum diedarkan kepada pengedar kecil di daerah ini serta Marang,“ katanya.
Idris memberitahu, suspek direman selama enam hari bermula semalam dan barang-barang miliknya termasuk kereta serta topi keledar yang bernilai RM18,000 turut disita.
Tegasnya, polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan individu lain yang terlibat dalam kumpulan itu dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.