Search This Blog

Wednesday, March 18, 2015

Cemas gegaran di tingkat 11

Mohd Rizal Abdull 
mohd.rizal@mediaprima.com.my

Petaling Jaya
Ratusan kakitangan bangunan Menara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini, cemas apabila bangunan berkenaan mengalami gegaran kecil dipercayai akibat kerja pembinaan di kawasan itu pagi semalam.
Dalam kejadian jam 9 pagi itu bangunan berkenaan dikatakan mengalami gegaran pada tingkat 11 mengakibatkan ratusan pekerja meninggalkan bangunan itu sebagai langkah keselamatan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.06 pagi seterusnya mengarahkan anggotanya ke lokasi kejadian.
Menurutnya sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 7 Petaling Jaya dikerahkan ke lokasi bagi melakukan pemeriksaan.
“Ketika itu, kebanyakan kakitangan bangunan itu sudah berada di luar berikutan bimbang dengan keselamatan mereka. Walaupun keadaan sedikit cemas, tiada sebarang kemalangan yang berlaku.
“Ia hanya gegaran kecil dipercayai akibat kerja pembinaan berdekatan kawasan itu. Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang keretakan ataupun tanda bangunan itu berada dalam keadaan berbahaya,” katanya.
Menurutnya, bagaimanapun, punca sebenar dan laporan lengkap kejadian itu diserahkan kepada jurutera bangunan berkenaan untuk tindakan lanjut.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2015 @ 5:59 AM


KAKITANGAN masuk semula ke dalam bangunan selepas disahkan selamat.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/37778#sthash.Fqp8Axbf.dpuf

No comments:

Post a Comment