Bekas jahitan yang diterima Kamariah di lengan dan pehanya.
Samsudin menunjukkan tapak tangan kirinya yang cedera selepas cuba membantu Kamariah yang diserang babi hutan.
GEMAS - Seorang wanita terpaksa menerima sebanyak 60 jahitan selepas diserang seekor babi hutan di kebun getahnya di Felda Jelai, di sini pada 14 Januari lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa, Kamariah Hassan, 58, cedera di kedua-dua peha, lengan, tangan dan punggung selepas disondol serta digigit haiwan berkenaan, sementara suaminya, Samsudin Ayob, 62, cedera di tapak tangan kiri.

Menurutnya, sewaktu kejadian dia sedang menoreh getah dan tiba-tiba haiwan berkenaan mengejarnya.

“Sudah lebih setahun babi ini berkeliaran, namun jika dihalau ia akan melarikan diri.

''Namun pada hari kejadian, babi itu mengejar makcik dan terus menggigit,” katanya

Manakala Samsudin berkata, sebelum babi berkenaan menyerang isterinya, ia menyerangnya terlebih dahulu, namun dia sempat menyelamatkan diri.

Bagaimanapun menurutnya, tidak lama selepas itu dia mendengar suara isterinya meminta tolong dan segera menyelamatkannya.

"Pada masa itu, muka dan badan isteri dipenuhi darah dan pak cik cuba meleraikan gigitan babi itu sehingga tapak tangan kiri pak cik cedera.

"Peliknya babi itu tidak mahu beredar sehinggalah  penduduk memanggil ketua kampung untuk menembak babi berkenaan," katanya.

Susulan kejadian itu, Kamariah ditahan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah Kuala Pilah kira-kira sebulan, manakala tangan kiri suaminya pula sering menggigil.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, pihaknya bersedia untuk menyokong permohonan mangsa bagi Kumpulan Wang Amanah Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas.

Menurutnya, di Negeri Sembilan, hanya satu kes membabitkan serangan binatang buas dan kadar sumbangan yang disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat bergantung kepada kecederaan mangsa.

“Kadar maksimum bantuan sebanyak RM20,000 mengikut kategori kecederaan.  Bayaran penuh akan dibayar kepada kes melibatkan kematian atau hilang upaya kekal dan hilang upaya sebahagian.

“Permohonan bantuan hendaklah dibuat dalam tempoh tiga bulan dari tarikh kejadian," katanya.