PDRM
ALOR SETAR - Seorang bayi perempuan berusia tiga bulan meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu di rumahnya di Jalan Kilang Tebu di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata kanak-kanak itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini kira-kira pukul 6 pagi sebelum disahkan meninggal dunia.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan daripada pihak hospital berhubung kejadian itu kira-kira pukul 8 pagi dan mayat bayi tersebut dihantar ke Jabatan Forensik hospital untuk bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya. - Bernama