Menurut portal berita Mail Online, Zephany Nurse diculik oleh seorang wanita daripada dakapan ibunya, Celeste Nurse yang sedang tidur di sebuah hospital Groote Schuur di Cape Town, hanya selepas tiga hari dilahirkan pada 28 April 1987.
Kejadian itu membuatkan Celeste dan suaminya, Morne Nurse bingung tetapi mereka tidak berputus asa untuk mencari anak mereka selama 17 tahun selain menyambut hari kelahiran anak mereka pada setiap tahun.
Usaha berterusan pasangan itu ternyata berbaloi apabila mendapat maklumat tentang seorang perempuan baharu di Sekolah Tinggi Cape Town mempunyai rupa yang sama seperti seorang lagi anak perempuan mereka, Cassidy, 14, yang turut belajar di sekolah sama.
Malah ramai pelajar mendapati Zhephany yang kini berusia 17 tahun mempunyai muka yang seiras seperti Cassidy.
Melihat persamaan tersebut, Cassidy menjemput Zhephany bertemu dengan ibu bapanya yang kemudian menyedari pelajar baharu itu merupakan anak mereka yang hilang sejak 17 tahun lalu dan menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.
Hasil keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan Zephany sebagai anak mereka dan pihak polis mendakwa seorang wanita berusia 50 tahun yang tidak didedahkan nama kerana kesalahan menculik.
Siasatan lanjut polis juga mendapati, Zephany membesar dengan pelbagai nama, keluarga dan tidak pernah mengetahui ibu bapanya yang sebenar.