Search This Blog

Monday, March 23, 2015

APMM rampas minyak diesel bernilai RM220,000 di Pulau Redang


ANGGOTA APMM memeriksa kandungan tangki pada sebuah kapal kargo yang berjaya ditahan di Pulau Redang hari ini. APMM menahan sebuah kapal kargo pada 20 Mac lalu dan berjaya merampas sebanyak 100,000 liter minyak diesel yang bernilai kira-kira RM220,000 yang dipercayai cuba diseludup. - Foto BERNAMA
SETIU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim (DM) 9 Kuala Terengganu merampas kira-kira 100,000 liter cecair minyak diesel bernilai hampir RM220,000 yang disyaki diseludup.
Ketua Penguatkuasa DM 9, Laksamana Pertama Maritim Xavier Thevandas, berkata minyak diesel itu ditemui ekoran penahanan sebuah kapal kargo minyak Mongolia kira-kira pukul 1 pagi Jumaat lalu, yang sedang bersauh di Pulau Redang, dekat sini.
Katanya, pemeriksaan terhadap kapal itu mendapati master kapal gagal mengemukakan pelepasan perlabuhan dan tidak melaporkan ketibaan di perairan Malaysia.
"Sampel minyak tersebut telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk pengesahan lanjut untuk memastikan sama ada minyak itu adalah minyak bersubsidi atau tidak.
"Jika minyak itu adalah minyak bersubsidi perkara ini akan dirujuk kepada Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
ANGGOTA APMM memeriksa kandungan tangki pada sebuah kapal kargo yang berjaya ditahan di Pulau Redang di sini, hari ini. - Foto BERNAMA
Beliau menambah, APMM turut menahan enam anak kapal warganegara Indonesia yang berusia antara 21 dan 53 tahun, namun siasatan mendapati kesemua mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Menurut Xavier, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku aktiviti pemindahan minyak atau menerima minyak di tengah laut sebelum dikesan APMM, namun siasatan lanjut sedang giat dijalankan.
Katanya, kapal terbabit dipercayai belayar dari pelabuhan Kemaman pada 18 Mac lalu sebelum bersauh di pulau peranginan itu.
Bagaimanapun, APMM tidak dapat membawa pulang kapal tersebut ke jeti APMM di Kuala Terengganu kerana mengalami kerosakan pada bahagian enjin.
Xavier berkata master kapal itu boleh didakwa di bawah Kaedah 10 (1) dan kaedah 15 Peraturan Perlabuhan Persekutuan 1953 iaitu tidak memaklumkan ketibaan kapal di Malaysia.
Peraturan itu memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment