Anak dilarikan bekas suami
Wati menunjukkan gambar anak-anaknya yang didakwa dilarikan keluarga suaminya.
AYER KEROH - Seorang wanita dari Tanjong Kling, di sini, mendakwa dua anaknya dilarikan keluarga bekas suami hampir tiga bulan lalu.

Wanita itu, Wati (bukan nama sebenar) mendakwa, kedua-dua anaknya yang berumur 8 dan 9 tahun, kini dijaga keluarga mertuanya yang bukan beragama Islam, di Pulau Pinang.

Wati, seorang kakitangan syarikat swasta, berkata, masalah bermula selepas mereka bercerai buat kali kedua pada 2012 akibat tiada persefahaman.

Menurutnya, mereka bercerai pertama kali pada 2009 dan merujuk semula setahun kemudian.

“Sebaik kami bercerai pada Mei 2012, kami tidak memohon hak penjagaan anak. Kedua-dua bersetuju menjaga salah seorang anak. Saya menjaga anak lelaki, manakala suami menjaga anak perempuan yang dibawanya ke Pulau Pinang.

“Bagaimanapun, awal tahun ini, bekas suami sudah bersetuju membenarkan saya memelihara kedua-dua anak dalam tempoh tertentu, malangnya kedua-dua anak saya dilarikan keluarga bekas suami tanpa kerelaan saya," katanya.

Wati mendakwa, anak lelakinya dilarikan adik ipar dari rumah sewaktu dia keluar bekerja, manakala pada 24 Januari pula, anak perempuannya pula dilarikan ketika sedang dalam jagaan pengasuh,” katanya.

Menurutnya, dia mencari kedua-dua anaknya itu di Pulau Pinang yang disangka tinggal bersama suami, tetapi mendapati anak-anaknya diletakkan di bawah jagaan keluarga mertua yang bukan beragama Islam.

“Saya merayu pada keluarga suami supaya pulangkan kembali anak saya, tetapi saya dimaki. Bekas suami juga pukul saya dan tidak benarkan saya bertemu anak saya.

"Saya sangat sedih apabila mereka beritahu anak-anak saya kononnya saya sudah mati," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Wati berkata, dia kini tersangat rindukan anak-anaknya.

"Saya tak boleh tidur setiap malam. Mereka saja harta saya. Saya mahu mereka pulangkan anak saya,” katanya.

Semalam, dia mengadu tentang masalahnya kepada Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) negeri Melaka, di sini.

Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah Aziz berkata, pihaknya akan berusaha menolong Wati.

“Tindakan mengambil anak dan meletakkan mereka di bawah penjagaan keluarga bukan Islam adalah sesuatu yang serius. Kita akan berusaha menerusi mahkamah bagi mendapatkan hak jagaan untuk kedua-dua anak itu," katanya.

Beliau berkata, Pembela BN mendapati Wati mampu memelihara kedua-dua anaknya itu kerana dia mempunyai pekerjaan, malah sering menghantar wang belanja untuk anak yang di bawah jagaan bekas suami itu.