Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, kejadian pada pukul 8 pagi itu berlaku sema­sa sepasukan anggota Op Cantas yang melakukan rondaan di sekitar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Emerald terserempak dengan suspek yang memandu dalam keadaan yang mencurigakan.
Katanya, susulan itu, pasukan Op Cantas Khas cuba menahan ke­re­ta suspek namun penjenayah ber­­ tindak ganas apabila merempuh kenderaan yang dinaiki polis sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke arah anggota berkenaan.
“Demi mempertahankan diri, pasukan khas terpaksa melepaskan tembakan menyebabkan suspek memecut laju dan berlaku insiden mengejar sehingga ke Kampung Ba­ru Hicom,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Op Cantas Khas Sela­ngor di Ibu Pejabat Daerah Klang Se­latan (IPD) di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengarah Ja­bat­­an Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh.
Katanya, suspek yang ber­umur 32 tahun itu melarikan diri ke Kampung Baru Hicom yang terletak kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian sebelum polis bertindak mengepung kawasan terbabit.
Tambahnya, suspek dikatakan meletakkan kereta tersebut ber­ham­­piran sebuah kedai besi buruk di situ.
“Suspek yang cemas dengan ke­ha­diran polis bertindak melepaskan tembakan lagi ke arah pasukan Op Cantas sehingga menyebabkan berlaku insiden berbalas tembakan sehingga meragut nyawa suspek,” ujarnya.
Jelasnya, hasil siasatan, polis turut menemukan sepucuk pistol Revolver dan beberapa butir peluru yang digunakan oleh suspek dalam kejadian itu.
Sementara itu, Ketua Jabatan Sia­satan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, suspek juga mempunyai 13 rekod jenayah termasuk lima kes bunuh di sekitar Lembah Klang.
“Pihak polis kini meneliti latar belakang suspek dan mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat,” ujarnya.