Search This Blog

Sunday, March 1, 2015

8 perompak barangan kemas RM417 juta dihukum penjara


PARIS – Lapan lelaki yang terbabit dalam kes rompakan sebuah kedai barangan kemas Harry Winston di sini yang melibatkan kerugian lebih AS$115 juta (RM417 juta) dihukum penjara.
Kesemua mereka dihukum penjara masing-masing antara sembilan bulan hingga 15 tahun selepas didapati bersalah melakukan rompakan bersiri me­libatkan batu-batu permata dan jam tangan mewah itu pada 2007 dan 2008.
Salah seorang daripada mereka, Douadi Yahiaoui atau lebih dikenali sebagai ‘Doudou’ yang merupakan dalang kepada rompakan berkenaan dijatuhi hu­kuman 15 tahun penjara.
Dia kini menjalani hukuman penjara selama 23 tahun atas kesalahan mencuri dan mengedar dadah.
"Dia merupakan dalang kepada kumpulan berkenaan, satu-satunya orang yang bertanggungjawab menyelaras semua perancangan, merekrut perompak, memberi arahan dan menjual barangan kemas," kata pendakwa raya, Sylvie Kachaner.
Rompakan pertama dilakukan pada Oktober 2007 apabila empat lelaki bertopeng dan lengkap bersenjata menawan kakitangan kedai barangan kemas ber­kenaan sebelum melarikan 120 utas jam berjenama mewah dan 360 barangan kemas bernilai lebih AS$35 juta (RM129 juta).
Sementara pada Disember 2008, empat lelaki termasuk tiga daripada mereka memakai pakaian wanita dengan rambut palsu sekali lagi melakukan rompakan di kedai yang sama dan melarikan 104 utas jam dan 297 pelbagai jenis barangan kemas bernilai AS$80 juta (RM288 juta).
Polis yang membuat serbuan ke atas rumah Yahiaoui serta melakukan siasatan selama hampir lima tahun masih gagal menemui lebih 500 utas jam dan pelbagai barangan kemas. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0301&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3T8t9bIjL 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment