Kesemua lelaki yang berusia antara 23 hingga 43 tahun itu ditahan pada pukul 11.15 pagi di Kilometer 158.6, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Bakap.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Superintenden Ismail Che Isa berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 pagi itu, penjenayah terbabit membawa kepala lori sebelum melarikan kontena yang berisi sarung tangan.
Katanya, dalam kejadian itu, dua pengawal keselamatan diikat oleh penjenayah yang bersenjatakan parang.
“Semasa operasi mengesan suspek, pihak polis menemukan sebuah treler dan kereta yang berhenti di tepi lebuh raya. Polis yang bergegas melakukan pemeriksaan mendapati tiga lelaki berada di sebelah tepi lori tersebut.
“Bagaimanapun, seorang lelaki lain yang berada di dalam treler berkenaan menyedari kehadiran pihak polis dan menjerit memaklumkan perkara itu kepada rakannya,” katanya di sini hari ini.
Menurut Ismail, polis kemudiannya menyerbu kumpulan itu dan berjaya memberkas kesemua mereka sekali gus merampas barang rompakan.
Katanya, antara barang yang dirampas adalah sebuah treler jenis Renault, kereta Toyota Camry, kontena mengandungi sarung tangan bernilai AS$100,000 (RM369,439.44), enam buah telefon bimbit, sekeping kad Touch 'n Go, sekeping kad PLUSMiles dan dua kunci kenderaan.
“Dua suspek berasal dari Pulau Pinang manakala dua yang lain dari Kedah dan mempunyai enam rekod kesalahan bersabit kes dadah. Kesemua mereka direman selama lima hari hingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut.
“Dengan tertangkapnya kumpulan ini, kita yakin dapat menyelesaikan tiga kes rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan parang yang berlaku di kilang di sekitar kawasan Simpang. Modus operandi kumpulan ini adalah membawa kepala lori dan merompak kontena yang berisi sarung tangan,” ujarnya.