Search This Blog

Tuesday, February 17, 2015

Tsunami 20 sentimeter landa utara Jepun



PEGAWAI dari Agensi Meteorologi Jepun (JMA), Yasuhiro Yoshida berucap pada sidang media di Ibu Pejabat di Tokyo berkenaan tsunami yang melanda utara negara itu hari ini. - Foto AFP
TOKYO: Tsunami kecil melanda utara Jepun hari ini susulan gempa bumi kuat di dasar laut membadai kawasan pantai iaitu tempat sama yang berlakunya tsunami dahsyat pada 2011.
Ombak berukuran 20 sentimeter direkodkan di Kuji, timur Iwate pada kira-kira jam 9.07 pagi waktu tempatan, bacaan di bawah satu meter yang diramal oleh Agensi Meteorologi Jepun (JMA).
Agensi itu memberi amaran bahawa paras ombak naik sedikit di Kuji walaupun ia tidak mungkin membesar.
Ombak berukuran 10 sentimeter turut dicatat di pantai lain di wilayah Iwate.
Tiada laporan mengenai kerosakan atau kematian.
Stesen televisyen NHK melaporkan, pemandangan di kawasan berkenaan tidak menunjukkan peningkatan paras laut di sepanjang pantai. Malah tiada perubahan terhadap jarak penglihatan di pelabuhan kawasan berkenaan.
JMA berkata, gempa bumi berukuran 6.9 magnitud melanda pada kira-kira jam 8.06 pagi di Pasifik kira-kira 210 kilometer timur Miyako, dengan kedalaman 10 kilometer.
Pegawai memberitahu sidang akhbar di sini bahawa pakar geologi menyifatkan gempa berkenaan sebagai susulan gempa pada 2011.
Agensi Penyelidikan Geologi Amerika Syarikat (USGS) pula merekod gempa itu pada 6.7 magnitud.
Sehubungan itu, kerajaan Jepun kemudiannya menguji sistem amaran kepada masyarakat.
Petugas NHK turut meminta orang ramai di kawasan terbabit supaya pergi ke tempat lebih tinggi dan memberi amaran supaya menjauhi kawasan pantai.
Sistem amaran orang awam di sepanjang pantai turut mengeluarkan amaran manakala kenderaan pasukan kecemasan meronda sambil membunyikan siren.
"Setakat ini kami dapati tsunami kecil tetapi akan terus memberi amaran kepada penduduk supaya tidak mendekati kawasan pantai kerana ombak kedua dan ketiga diramal lebih tinggi," kata pegawai pejabat pengurusan bencana di Miyako, Masayuki Yamazaki.
Seorang lagi pegawai berkata: "Gempa bumi ini amat kuat dan menyebabkan bangunan bergoyang tetapi tidak mendapat maklumat mengenai sebarang kerosakan." - AFP

No comments:

Post a Comment