DHAKA - BANGLADESH. Sebuah feri yang membawa 100 penumpang karam di Bangladesh, dengan operasi menyelamat sedang giat dijalankan.
Menurut laporan Press TV, jurucakap rasmi Jabatan Bomba, Shahzadi Begum berkata, feri tersebut di lapor terlanggar kapal kargo di lintasan Daulatdia-Paturia, merentasi Sungai Padma, lewat petang semalam.
Bagaimanapun, masih tiada sebarang maklumat rasmi berkenaan bilangan mangsa yang terselamat ataupun yang masih hilang.

Kawasan insiden tersebut berlaku dilaporkan kira-kira 40 kilometer ke arah barat laut ibu negara bandar Dhaka.
Begim berkata, pasukan penyelamat telah dikerah ke tempat kejadian dengan bantuan bot-bot penyelamat.

Sementara itu, Inspektor Zihad Mia, pegawai yang bertanggungjawab untuk operasi menyelamat berkata, feri itu telah tenggelam pada kedalaman 20 kaki (6 meter).

“Kami belum menjumpai mayat mangsa, dan masih belum memiliki gambaran yang jelas berkenaan punca kejadian,” katanya.

Beliau turut percaya ramai mangsa berjaya menyelamatkan diri.

Satu sumber tidak rasmi mendedahkan, sekurang-kurangnya tujuh mayat telah dijumpai berhampiran lokasi kejadian.

Sungai Padma merupakan salah satu sungai terbesar yang bersambung dengan lebih daripada 130 sungai lain.

Ogos tahun lalu, sebuah feri dengan kapasiti 85 penumpang, dilaporkan terbalik apabila membawa lebih muatan, dengan hampir 200 penumpang.
Dalam insiden berkenaan, lebih 100 orang mati atau hilang.