Pasukan perubatan mengusung seorang lelaki yang cedera dalam serangan bom kereta di luar Hotel Central berhampiran Istana Presiden Somalia di Mogadishu, kelmarin. – AFP
MOGADISHU 21 Feb. - Timbalan Perdana Menteri Somalia, Mohamed Omar Arte merupakan antara mangsa yang cedera selepas kumpulan militan al-Shabab meletupkan sebuah bom kereta di sebuah hotel, di sini, semalam, selain mengakibatkan sekurang-kurangnya 11 orang yang lain terkorban.
“Bangunan hotel rosak teruk, letupan yang berlaku begitu kuat. Saya dapat lihat 11 mayat dibawa keluar dari lokasi kejadian, selain banyak orang cedera,” kata pegawai polis, Abulrahman Ali.
Laman web Arab News memetik kenyataan seorang pegawai polis, Kapten Mohammed Hussein sebagai berkata, seorang lelaki membawa sebuah kereta yang diisi bahan peledak melanggar pintu pagar hotel, dengan seorang lagi lelaki bertindak meletupkan dirinya sejurus selepas memasuki hotel berkenaan.
Militan al-Shabab mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu berdasarkan kenyataan yang diumumkan di stesen radio kumpulan itu iaitu Andulus.
Mohamed Omar yang kini menerima rawatan di hospital merupakan antara beberapa pemimpin kerajaan yang berada di hotel tersebut ketika letupan berlaku, beliau berada di hotel itu bersama 70 delegasi lain bagi menghadiri satu persidangan antarabangsa.
“Mereka langsung tidak hiraukan tentang kehidupan, kemanusiaan dan agama Islam,” jerit seorang wanita warga emas yang duduk berhampiran mayat mangsa yang terkorban sebagai mengutuk serangan kejam oleh kumpulan militan itu.
Pegawai perisik berkata, delegasi dari Turki merupakan antara 70 pegawai atasan yang menghadiri persidangan itu ketika letupan itu berlaku, bagaimanapun keadaan mereka tidak dapat disahkan.
No comments:
Post a Comment