RIJEKA 3 Feb. - Disebabkan perasaan cemburu, seorang model sanggup menikam kembarnya sendiri menggunakan pisau di rumah mereka di Rijeka, Croatia selepas mengetahui gadis itu menjalin hubungan cinta dengan lelaki yang turut diminatinya.
Dajana Grkovic
Menurut portal, Mail Online, kejadian itu berlaku Sabtu lalu apabila Sara Grkovic, 22, bergelut dengan kembarnya, Dajana dan menikamnya di bahagian dada dan peha sehingga menyebabkan mangsa cedera parah.
Sara ditahan atas dakwaan cubaan membunuh, manakala Dajana menerima rawatan di sebuah hospital tempatan dan berada dalam keadaan stabil.
Seorang jiran memaklumkan, kembar itu bergaduh disebabkan seorang lelaki yang mereka berdua minati.
“Lelaki itu dipercayai menjalin hubungan dengan Dajana dan Sara tidak begitu gembira dengan khabar itu.
“Saya tidak sangka Sara sanggup melakukan perbuatan yang mengancam nyawa kembarnya,” kata saksi berkenaan.
Tambah saksi, mereka berdua dikenali sebagai gadis yang bersopan-santun dan pandai bergaya serta mempunyai hubungan yang rapat.
“Kedua-dua mereka sangat cantik, tetapi saya tidak fikir mereka risau tentang persaingan daripada wanita lain. Mereka sememangnya cemburu antara satu sama lain,” katanya.
No comments:
Post a Comment