Search This Blog

Monday, February 16, 2015

Serangan di Copenhagen


SEORANG anggota polis memeriksa lokasi tembak-menembak antara polis di Copenhagen, Denmark. - REUTERS


COPENHAGEN – Polis Denmark semalam menyatakan pihaknya percaya lelaki yang ditembak mati oleh beberapa anggota polis semalam, bertanggungjawab melancarkan dua serangan berdarah yang menggemparkan penduduk di sini.
“Suspek ditembak mati selepas dia melepaskan tembakan ke arah pasukan polis di sebuah stesen kereta api,” kata seorang jurucakap kerajaan, Torben Moelgaard Jensen.
Perkembangan itu berlaku selepas seorang lelaki berusia 55 tahun terbunuh di sebuah majlis dialog mengenai Islam dan kebebasan bersuara di sebuah kafe di bandar raya ini kelmarin.
Acara tersebut dihadiri oleh kartunis kontroversi, Lars Vilks dan Duta Perancis, Francois Zimeray.
Vilks merupakan seorang rakyat Sweden yang menerima banyak ugutan bunuh kerana melukis karikatur Nabi Muhammad.
Pada majlis itu, Zimeray memuji usaha Denmark memperjuangkan kebebasan bersuara susulan serangan ke atas akhbar Charlie Hebdo di Paris yang meragut 12 nyawa.
Beberapa saksi berkata, beliau belum selesai berucap apabila sehingga 40 das tembakan dilepaskan dari luar bangunan oleh penyerang berkenaan.
Polis berkata, pihaknya menganggap Vilks merupakan sasaran utama serangan itu.
Beberapa jam kemudian pada waktu malam, beberapa das tembakan dilepaskan ke arah sebuah rumah ibadat Yahudi, berdekatan kafe tersebut.
“Seorang lelaki ditembak di kepala dan kemudian disahkan meninggal dunia, manakala dua anggota polis turut cedera.
“Kami percaya kedua-dua serangan dilakukan oleh lelaki sama dan kami juga percaya suspek yang ditembak mati di stesen kereta api Noerrebro melakukan serangan tersebut,” kata Moelgaard Jensen.
Menurutnya, lelaki itu ditembak mati semasa operasi pemburuan intensif di sekitar bandar raya ini bagi menjejaki penyerang tersebut yang membunuh dua orang dan menyebabkan lima lagi cedera.
Perdana Menteri Denmark, Helle Thorning-Schmidt menganggap insiden tersebut sebagai serangan pengganas.
“Kami pasti serangan ini bermotifkan politik. Justeru, ia satu serangan pengganas,” kata Thorning-Schmidt.
Dalam perkembangan berkaitan, penganjur dialog berkenaan, Helle Merete Brix berkata, dia melihat seorang penyerang bertopeng di lokasi kejadian.
“Beberapa pengawal keselamatan menjerit ‘Semua orang keluar’ dan kami ditolak keluar dari bilik tempat acara itu berlangsung.
“Penyerang cuba masuk ke bilik persidangan tersebut dan saya melihat dia memakai topeng,” kata Brix.
Denmark sendiri menjadi sasaran serangan selepas akhbar negara berkenaan menyiarkan gambar Nabi Muhammad sekali gus mencetuskan bantahan besar-besaran oleh umat Islam di seluruh dunia. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0216&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3RuBfWPu1 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment