Unit forensik polis memeriksa lokasi kejadian serangan di luar sebuah pusat budaya di Krudttonden. - Foto AFP
Unit forensik polis memeriksa lokasi kejadian serangan di luar sebuah pusat budaya di Krudttonden. - Foto AFP
COPENHAGEN - DENMARK. Sekurang-kurangnya dua terbunuh dan lima lagi cedera dalam dua kejadian tembakan di ibu negara Denmark.

Dalam insiden pertama kelmarin, suspek melepaskan tembakan di sebuah pusat budaya di Krudttonden yang menganjurkan debat mengenai Islam dan kebebasan bersuara.

Menurut AFP, artis Sweden, Lars Vilks yang bertanggungjawab menghasilkan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW sehingga mencetuskan bantahan di seluruh dunia pada 2007, adalah antara peserta debat dan antara yang disasarkan suspek.

Insiden kedua pula berlaku berhampiran rumah ibadat utama Yahudi di Copenhagen semalam, menyaksikan seorang mangsa ditembak di kepala dan dua anggota polis ditembak di lengan dan kaki.

Dalam pada itu, polis Copenhagen mengesahkan pihaknya telah menembak mati seorang lelaki yang dipercayai dalang kepada dua serangan terbabit.

"Dia melepaskan tembakan ke arah polis dan ditembak mati. Lelaki itu sudah mati dan tiada anggota polis yang terkena tembakan,” menurut polis dalam satu kenyataan berhubung kejadian di kawasan Norrebro di Copenhagen.

Menurut polis, rakaman video pengawasan menunjukkan lelaki berkenaan adalah dalang kedua-dua serangan di Krudttonden dan Copenhagen.