Search This Blog

Thursday, February 5, 2015

Sekurang-kurangnya 10 maut akibat ribut salji di AS



Operasi pembersihan salji di landasan Lapangan Terbang La Guardia giat dijalankan berikutan ribut salji yang melanda New York. - Foto AFP
NEW YORK: Ribut salji musim sejuk yang membawa maut dijadual melanda pada malam ini selepas membadai timur laut Amerika Syarikat sehingga menyebabkan kelewatan perarakan kemenangan pasukan Super Bowl Boston dan mengakibatkan kesesakan di beberapa lapangan terbang utama.
Ribut gelombang kedua dalam tempoh kurang seminggu itu menyebabkan kawasan kediaman dari bandar raya New York ke Boston dilanda salji, hujan batu dan angin kencang.
Keadaan cuaca adalah faktor utama menyebabkan sekurang-kurangnya 10 maut, termasuk beberapa kematian dilaporkan di Midwest di mana ribut salji membadai dengan teruk pada Ahad hingga Isnin.
Boston diliputi salji setinggi 60 sentimeter (sm) akibat ribut salji minggu lalu dan diramalkan meningkat lagi, menjadikan ia hari paling teruk ditimpa salji dalam tempoh tujuh hari di bandar raya ini.
Bacaan 87 sm yang diukur pada 1 tengah hari (waktu tempatan) melepasi rekod bacaan 79 sm yang dicatatkan pada Januari 1996.
Ribut salji menyebabkan Datuk Bandar Marty Walsh menangguhkan sehingga esok bagi menganjurkan acara perarakan sempena kemenangan New England Patriots ke atas Seattle Seahawks, 28-24 dalam aksi Super Bowl.
Beratus-ratus penerbangan juga dibatalkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Logan Boston, Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty di New Jersey, Lapangan Terbang LaGuardia dan Lapangan Terbang Antarabangsa O'Hare, Chicago, demikian menurut laman web Flightaware.com.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) meramalkan ribut melanda sehingga malam ini dan ia dijangka kembali cerah di Boston pada Selasa.
Keadaan cuaca yang buruk menyebabkan sekurang-kurangnya 10 kematian termasuk seorang wanita yang maut akibat dilanggar jentolak salji di pinggir bandar Boston dan seorang pekerja dewan makan sebuah universiti di Connecticut.
Sementara itu, empat terbunuh dalam nahas jalan raya di New York dan Indiana, seorang terkorban dalam nahas di Michigan dan tiga maut ketika sedang membersihkan salji di Wisconsin, demikian menurut pegawai dan laporan media tempatan. - Reuters

No comments:

Post a Comment