Search This Blog

Monday, February 16, 2015

Rugi RM200,000 sekelip mata

Rugi RM200,000 sekelip mata

16 Februari 2015

KANGAR- Sebuah rumah termasuk dua kereta serta tiga motosikal hangus dalam kebakaran di Batu 2, Jalan Abi Batas Paip, di sini, semalam.

Zainudin Saad, 58, yang merupakan kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, sewaktu kejadian dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja untuk mengambil motosikal berkuasa tinggi di rumah.

“Pada sebelah pagi saya pergi kerja menaiki kereta dan pada kira-kira jam 12.30 tengah hari saya pulang ke rumah untuk menukar kereta dengan motosikal.

“Apabila hampir sampai di kawasan rumah, saya dimaklumkan oleh kenalan, rumah saya terbakar, tidak dapat berbuat apa-apa kecuali melihat semua harta benda saya hangus terbakar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Zainudin memberitahu dia kerugian lebih RM200,000 akibat kebakaran tersebut namun bersyukur anak-anak dan isterinya tiada di rumah sewaktu kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Kangar, Zaharul Amin Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.54 tengah hari dan tiba di lokasi pada 1.08 petang.

Katanya, pihak bomba dapat mengawal kebakaran 20 minit kemudian dengan kekuatan 15 anggota dari balai bomba Kangar dan Arau.

“Rumah berstruktur batu dan kayu itu musnah 100 peratus. Tiga motosikal termasuk motosikal berkuasa tinggi turut terbakar.

“Malah dua kereta jenis Proton Saga dan Ford juga musnah sama sekali. Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment