Insiden itu berlaku kira-kira pukul 11 pagi waktu tempatan apabila pesawat yang membawa 58 penumpang termasuk lima krew, baru beberapa minit berlepas dari Lapangan Terbang Songshan di utara Taipei menuju ke Pulau Kinmen.
Jelas laporan media, rakaman video amatur menunjukkan pesawat jenis ATR 72-600 itu, secara tiba-tiba menjunam ke Sungai Keelung dan sayapnya terlanggar jambatan, menyebabkan serpihan bertaburan termasuk mengenai sebuah teksi.
Pegawai agensi bomba, Lin Kuan-cheng berkata, seramai 16 mangsa terselamat telah dikeluarkan dari lokasi kejadian.
“Seramai 17 mangsa lagi masih hilang selepas badan pesawat itu diangkat menggunakan kren,” katanya sambil menambah sebanyak 15 buah ambulans dan 100 orang askar dikerah ke lokasi kejadian.
Akhbar tempatan China, Xiamen Daily melaporkan, seramai 31 pelancong dari China menaiki pesawat itu, sebahagian daripada dua kumpulan yang mengikuti lawatan ke Taiwan.
Pengarah Pentadbiran Penerbangan Awam Taiwan, Lin Chih-ming berkata, pesawat itu terhempas beberapa minit selepas terputus hubungan dengan menara kawalan Lapangan Terbang Songshan.
“Pesawat ATR 72-600 itu berusia kurang setahun dan baru diselenggara lebih seminggu lalu.
“Juruterbang pesawat berkenaan juga mempunyai pengalaman penerbangan selama 14,000 jam, manakala pembantunya memiliki rekod 4,000 jam penerbangan,” kata Chih-ming tanpa mengulas lanjut punca sebenar kejadian.
Ketua Eksekutif TransAsia, Chen Xinde dalam satu sidang media yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan, tunduk dan memohon maaf berhubung insiden itu. – AFP