Kereta terbakar: Seorang melecur, 5 selamat
KUALA BERANG - Enam sekeluarga berdepan saat cemas apabila kereta Proton Gen 2 yang mereka naiki dalam perjalanan pulang menghadiri kenduri kahwin, terbakar secara tiba-tiba di Kilometer 389.2, Lebuh Raya Pantai Timur 2, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, seorang daripada mangsa, Feah Mohd Amin, 76, melecur, manakala lima yang lain terselamat kerana sempat keluar daripada kenderaan sebelum api marak.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Zamri Omar berkata, pihaknya mendapat panggilan kecemasan pada jam 1.10 petang dan bergegas ke lokasi kejadian dengan kekuatan enam anggota serta sebuah jentera.

Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, pihaknya mendapati kereta terlibat sudah terbakar 100 peratus, manakala semua mangsa termasuk pemandu, Mohammad Kamaruddin Mohammad, 25, beralamat di Kampung Pak Katak, Batu Enam, Manir, berada beberapa meter dari kenderaan.

“Mereka dari arah Bukit Besi menghala ke arah Ajil dan dalam perjalanan pulang menghadiri majlis kenduri kahwin di Air Putih, Kemaman secara konvoi bersama beberapa kenderaan lain terdiri daripada sanak-saudara.

"Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, pemandu (Mohammad Kamaruddin) menyedari meter minyak kereta berada di kedudukan kosong sedangkan dia sudah mengisi minyak di Batu Enam sebelum memulakan perjalanan.

"Musykil dengan keadaan itu, dia kemudiannya berhenti di bahu jalan dan terkejut apabila lihat api di bahagian belakang kenderaan sebelum merebak ke bahagian depan. Namun, semua menumpang sempat keluar menyelamatkan diri termasuk seorang warga emas,” katanya, semalam.

Menurut Mohd Zamri lagi, mangsa yang cedera dibawa orang awam ke Hospital Hulu Terengganu sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, operasi mengawal kebakaran diketuai Pegawai Bomba Khairul Anuar Bidin itu tamat pada jam 1.45 petang.