Dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, dua lelaki berkenaan termasuk dua lagi rakannya dikatakan cuba melarikan diri dengan melintas lebuh raya selepas memberhentikan kereta Proton Iswara di kawasan kejadian menghala ke Johor Bahru, Johor.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, kereta suspek sebelum itu ditahan sepasukan anggota ronda cegah jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Paya Datuk untuk pemeriksaan selepas berada dalam keadaan mencurigakan dengan cermin belakangnya pecah.
Katanya, sebelum sempat ditahan, pemandu kereta itu bagai­manapun tiba-tiba bertindak di luar jangkaan dengan memecut laju menyebabkan dua anggota polis menaiki kereta peronda mengejarnya hingga ke Plaza Tol Simpang Ampat di sini.
“Bagaimanapun, semasa sampai di plaza tol terbabit, kereta dinaiki suspek kemudian merempuh palang automatik dan menuju ke arah Plaza Tol Ayer Keroh,” katanya kepada Utusan Malaysia di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini malam tadi.
Jelas Raja Shahrom, sebaik sahaja sampai di Plaza Tol Ayer Keroh, suspek kemudian berpatah balik dan memandu melawan arus sejauh 20 kilometer menuju ke Plaza Tol Lipat Kajang dan terus membuat pusingan sejurus menyedari polis membuat sekatan.
Beliau berkata, suspek kemudian memandu ke arah Kuala Lumpur dan dilihat memasuki semula Plaza Tol Simpang Ampat sebelum berpatah balik menghala ke arah Johor Bahru.
“Kira-kira satu kilometer dari persimpangan plaza tol tersebut, suspek memberhentikan kenderaan di lorong paling kanan lebuh raya untuk melarikan diri ke laluan bertentangan.
“Dua daripada suspek berjaya melintas dan melarikan diri ke kawasan belukar lebuh raya manakala dua lagi suspek gagal menyeberang dan maut selepas dilanggar sebuah treler yang dipandu laju di lorong kanan menuju arah utara,” katanya.
Pihak polis kemudian membuat pemeriksaan terhadap kereta dinaiki suspek namun tidak menemukan sebarang senjata atau dokumen pengenalan diri milik suspek.
“Namun demikian, hasil pemeriksaan nombor pendaftaran Proton Iswara terbabit mendapati ia palsu. Pemilik sebenar nombor pendaftaran itu merupakan seorang wanita yang tinggal di Kuala Lumpur,” katanya.
Tambah beliau, polis masih mengesan identiti kedua-dua warga asing berkenaan manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam masa sama, beliau turut memohon kerjasama orang ramai supaya menghubungi balai polis berdekatan sekiranya mempunyai maklumat berkaitan dua lagi lelaki yang melarikan diri.