Search This Blog

Thursday, February 26, 2015

Dua maut nahas tiga kenderaan


26/02/2015 5:20pm

JEMPOL - Nahas membabitkan tiga buah kenderaan yang berlaku di Kilometer 5, Jalan Serting Tengah-Bandar Seri Jempol di sini kelmarin meragut dua nyawa termasuk seorang warga emas.
Mereka yang terkorban ialah pemandu kereta Nissan Sunny, Chung Ah Tong, 59, dan penumpang Perodua Myvi, Nor Qamarina Osman, 23.
Kejadian pada pukul 1.40 petang itu turut menyebabkan tiga yang lain cedera.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias berkata, Ah Tong disahkan mati pada pukul 2.55 petang di wad kecemasan Hospital Jempol di sini manakala Nor Qamarina meninggal dunia empat jam kemudian ketika dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban.
"Kemalangan dipercayai berlaku ketika kereta Perodua Kancil dari arah Serting ke Bandar Seri Jempol terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta Nissan Sunny yang pada mulanya cuba memperlahankan kenderaan dan mengelak.
"Pada masa sama, sebuah Perodua Myvi yang mengekori Nissan Sunny gagal membrek dan turut melanggar kenderaan di hadapannya. Dalam kejadian itu, Perodua Kancil terbalik manakala Nissan Sunny berpusing ke laluan bertentangan," katanya di sini hari ini.
Menurut Hamzah, penumpang Perodua Kancil yang tersepit dikeluarkan oleh anggota bomba dari Bandar Seri Jempol di sini.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol di talian 06-458 2222.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - KOSMO!


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0226&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_22.htm#ixzz3SjVGpnoF 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment