SEREMBAN - Dua buah lot kedai setingkat musnah dalam kebakaran di Garden Homes, Seremban 2 di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Mohammad Idris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.30 petang tadi dan seramai 15 anggota bersama dua jentera ditugaskan ke lokasi kejadian.
"Dua lot kedai itu merupakan tempat simpanan barangan lusuh. Pihak kami dapat mengawal api dalam tempoh 20 minit namun, kebakaran masih belum padam sepenuhnya," katanya ketika dihubungi hari ini.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Punca kejadian dan kerugian sedang disiasat.
Sementara itu, sebuah bengkel musnah dalam kebakaran di Jalan Lombong Emas 11, Taman Industri Ringan di sini, malam ini.

Pegawai Bomba Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban S. Maya berkata seramai 16 anggota bersama dua jentera ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 7.50 malam.

"Turut musnah dua buah kereta Mitsubishi Storm dan Datsun Sunny. Anggota bomba dapat memadam kebakaran 30 minit kemudian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Punca kejadian masih disiasat dan kerugian dianggarkan RM1 juta. - Bernama