Seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di pusat budaya Krudttonden ketika satu seminar yang dihadiri kartunis Lars Vilks, seorang warga Sweden yang mencetuskan demonstrasi di seluruh dunia kerana menghina Nabi Muhammad pada 2007.
Seorang lelaki berumur 55 tahun terbunuh dalam serangan itu dan tiga anggota polis pula cedera.
Beberapa jam kemudian, seorang lelaki ditembak mati di kepala berdekatan rumah ibadat Yahudi di pusat bandar Copenhagen.
Dua anggota polis turut cedera dalam serangan itu yang berlaku pada kira-kira pukul 1 pagi waktu tempatan itu (5 pagi waktu Malaysia).
Polis Denmark, hari ini menembak mati seorang lelaki yang dipercayai suspek kedua-dua serangan tersebut.
Ketua Polis Copenhagen, Inspektor Torben Molgaard Jensen berkata, suspek ditembak mati di Norrebro, tidak jauh dari kedua-dua kawasan serangan pada kira-kira pukul 6 pagi waktu tempatan (1 petang waktu Malaysia).
“Kami anggap suspek yang ditembak mati mendalangi kedua-dua serangan,’’ katanya.
Perdana Menteri Denmark, Helle Thorning-Schmidt menyifatkan serangan ke atas pusat budaya tersebut sebagai satu serangan pengganas.
Wadsworth-Hansen enggan mengesahkan sama ada lelaki sama terlibat dalam kedua-dua serangan itu.
“Kami tidak dapat memastikannya dan masih terlalu awal untuk mengulas mengenai kejadian ini,” katanya. – AFP