Beberapa anggota forensik mengumpul mayat mangsa kemalangan melibatkan kereta api dengan sebuah bas di Anahuac, Nuevo Leon, Mexico, semalam. – AFP
MEXICO CITY 14 Feb. – Sekurang-kurangnya 16 orang termasuk dua orang kanak-kanak terkorban manakala 30 orang lagi cedera selepas sebuah kereta api melanggar sebuah bas yang dipenuhi penumpang di timur laut Mexico, semalam.
Ketua perlindungan awam ne-geri Nuevo Leon, Jorge Camacho berkata, kemalangan tersebut berlaku selepas bas berkenaan cuba menyeberangi landasan kereta api di bandar Anahuac.
Syarikat pengurusan kereta api Kansas City Southern de Mexico dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian tersebut.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Kansas City Selatan tidak mendedahkan punca kemalangan itu.
Kemalangan tragis itu berlaku kira-kira pukul 5.25 petang waktu tempatan (7.25 malam waktu Malaysia).
Kereta api yang berada di bawah pengelolaan Transporte Frontera itu ketika kejadian berada dalam perjalanan dari Nuevo Laredo ke Coahuila.
Pegawai Mexico berkata, siasatan sedang melihat kemungkinan bas cuba melintas landasan ketika kereta api tersebut semakin menghampiri lintasan berkenaan.
Menurut sumber, ketika kejadian, bas berkenaan membawa 60 orang penumpang. – AGENSI/AFP
No comments:
Post a Comment